Thursday, 17 May 2012

SAJAK : GURU OH GURU

GURU OH GURU


BERBURU ke padang datar

Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi



Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.



Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.



Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;



Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.



Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;



Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.



Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.



USMAN AWANG
1979

Wednesday, 25 April 2012

Hormatilah Gurumu



Guru adalah insan yang sangat besar jasanya kepada kita semua. Sebut sahaja perkataan guru, cikgu, mursyid dan apa jua yang sama dengannya, pasti akan terbayang difikiran seseorang yang mengajar ilmu, menunjukkan kesalahan, memberi nasihat, latihan dan panduan.
Pendek kata mereka adalah insan yang menunjukkan kita sesuatu ilmu yang membuatkan kita yang asalnya tidak tahu, menjadi tahu.  Tanpa guru siapalah kita pada hari ini. Jika kita bergelar doktor, peguam, jurutera dan saintis, itu semua adalah hasil daripada didikan guru-guru kita sejak kita tadika, sekolah dan universiti. Merekalah yang membentuk kita menjadi seperti sekarang.
Islam amat menitikberatkan adab seorang murid terhadap gurunya. Adalah menjadi suatu kewajiban bagi kita untuk hormat kepada guru meskipun mereka tidak lagi mengajar kita. Seorang guru sudah pasti mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang sesuatu bidang sehingga mampu mengajar orang lain. Oleh sebab itulah menghormati mereka adalah dituntut oleh syarak sebagaimana firman Allah S.W.T :
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu."(An-Nisa' :59)
Pernah diceritakan tentang Imam Syafie menghormati gurunya. Pada suatu hari, sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan pelajar-pelajarnya, masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali.
Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu. Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie mengapa beliau memeluk badwi tersebut.
Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie.
Jawab Imam Shafie " Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah , aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimanakan nak mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi tau kerana badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka.
Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang ku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku dapat menyiapkan kitabku itu" Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya dan menghormati sehingga menggelarnya guru.
Rasulullah s.a.w bersabda:
" Tidak termasuk umatku, orang yg tidak hormat orang tua, tidak mengasihi orang muda dan tidak mengiktiraf orang alim di antara kami." (Riwayat Ahmad)
Kebelakangan ini, pelajar kurang mengambil berat soal hormat-menghormati dengan guru. Sudah menjadi sesuatu yang biasa bagi pelajar yang melawan guru malah ada yang berani mencederakan guru yang mengajarnya ilmu. Hal ini amat bercanggah dengan adab pelajar dalam Islam. Saidina Ali juga pernah berkata, "Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku." Tuan yang dimaksudkan oleh Saidina Ali adalah gurunya.
Terdapat banyak cara menghormati guru kita. Jika ilmuan terdahulu yang terkenal dengan ketokohan ilmunya menghormati guru mereka, maka mengapa kita yang tidak menjadi tokoh dan ilmuan berani melanggar adab berguru.
Adab ulama salaf dan ilmuan terdahulu dengan guru mereka ialah Mereka merendah diriterhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat guru dan sentiasa meminta pendapat serta pandangan  guru dalam setiap urusan mereka.
Mereka mentaati setiap arahan serta bimbingan guru umpama seorang pesakit yang tidak tahu apa-apa yang hanya mengikut arahan seorang doktor pakar yang mahir. Mereka juga sentiasa berkhidmat untuk guru-guru mereka dengan mengharapkan keredhaan dan balasan pahala serta kemuliaan di sisi Allah s.w.t.
Ulama terdahulu tidak pernah sama sekali menggelar guru mereka dengan nama yang buruk. Bahkan mereka juga tidak pernah memanggil guru dengan panggilan "engkau" dan"awak".  Al-Khatib berkata: Hendaklah dia berkata "Wahai guru, apakah pendapat kamu mengenai hal ini?" dan kata-kata seumpamanya. Dan tidak menggelarkannya dengan namanya kecuali disertakan dengan gelaran-gelaran yang menunjukkan penghormatan serta takzim kepadanya. Misalnya syeikh ataupun ustaz atau syeikh kami.
Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah ataupun berlawan cakap dengan guru. Sesungguhnya berbantah-bantah itu secara umumnya sudah merupakan suatu perbuatan yang keji dan terlarang, apatah lagi untuk berbantah-bantah dengan guru yang merupakan pembimbing serta qudwah. Perbuatan ini akan menjauhkan mereka sebagai pelajar daripada kebaikan dan merupakan penjerumus kepada kejahatan dan ianya adalah penyebab diharamkan ke atas mereka bermacam-macam bentuk kebaikan.
Jika mereka berhajat kepada guru mereka di luar waktu mengajar sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga dari tidur ataupun selesai dari berehat. Ibnu 'Abbas r.a pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadith. Lalu dikatakan kepadanya: Dia sedang tidur. Maka duduklah Ibnu 'Abbas di muka pintu. Lalu dikatakan kepadanya: Tidak perlukah kita mengejutkannya? Ibnu 'Abbas pun menjawab: Jangan.
Begitulah hormatnya ulama' dan ilmuan Islam terdahulu. Disebabkan itulah mereka menjadi tokoh besar dan dihormati pula sehingga kini kerana mereka begitu menjaga adab dengan guru masing-masing. Semoga kita semua termasuk dalam kalangan mereka yang menghormati guru. insyaAllah.

Si Bijaksana dan Si Inventor


Luqman Hakim adalah seorang genius yang disebut dalam al-Quran. Kisah beliau diabadikan dalam sebuah surah bernama Luqman, yang mengandungi 34 ayat.
Tuhan memaklumkan dalam ayat 12 surah Luqman,
"Sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya) "Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)."
Apakah itu hikmah? Hikmah sering dikaitkan dengan sifat arif dan bijaksana. Ia dimiliki oleh orang berilmu, namun tidak semua orang berilmu memilikinya.
Menurut penulis Ruh al-Bayan, hikmah adalah ketepatan dalam memilih yang benar dengan lisan, ketepatan dalam berfikir dengan bantuan anggota badan dan ketepatan bergerak dengan anggota badan. Sekiranya berbicara, Luqman berbicara dengan hikmah. Sekiranya berfikir, beliau berfikir dengan hikmah dan sekiranya bergerak, beliau bergerak dengan hikmah juga.
Ramai orang bertanya kepadanya, "Daripada siapa tuan mempelajari hikmah?" Jawab Luqman,"Saya mempelajari hikmah daripada orang-orang bodoh, dan orang-orang bodoh. Saya melihat ada cacat pada diri mereka lalu saya berusaha menjauhinya."
Thomas Edison adalah seorang inventor yang berjaya mencipta mentol lampu pada tahun 1879. Sebelum itu 9999 cubaannya tidak berjaya. Namun kata beliau,"Saya tidak gagal. Saya berjaya menemui 9999 cara yang tidak menghasilkan mentol lampu." Dalam cubaannya yang ke-10,000 barulah mentol lampu beliau menyala.

Kata bijak pandai, kehebatan seorang pemikir terletak pada kemampuannya meneka dengan tepat hasil sesuatu tindakan. Itu adalah salah satu ciri hikmah. Sebab itulah pemikir yang hebat secara tepat sentiasa berjaya menghasilkan sesuatu. Bagaimanakah cara kita dapat meneka secara tepat apa yang akan berlaku? Salah satu caranya ialah melihat apa yang sudah berjaya dan apa yang tidak.
Namun dalam kes Thomas Edison, didapati ada lebih banyak cara yang tidak betul berbanding cara yang betul, dengan nisbah 9999:1.
Dalam hidup, boleh jadi yang lebih penting ialah berusaha meninggalkan apa-apa yang tidak betul, bukannya lebih mencuba apa-apa yang kita sangka betul.
Luqman Hakim menjadi bijak dengan melihat kebodohan pada orang lain dan kemudian berusaha tidak melakukannya. Beliau sudah melihat sesuatu yang bodoh, lalu berusaha supaya dirinya tidak mengulang kebodohan itu.
Dalam kes Thomas Edison, beliau juga tidak mengulang kesilapan. Namun 9999 kesilapan itu terpaksa dilaluinya sendiri terlebih dahulu. Boleh jadi sebelum itu, tiada sesiapa pernah cuba mencipta mentol lampu. Jadi Thomas Edison tidak dapat belajar daripada kesilapan orang itu. (Boleh jadi juga sebelum itu kitab cara-cara mencipta mentol lampu sudah ada, namun telah dibakar oleh orang-orang Mongol).
Apapun, Thomas Edison terpaksa menghabiskan masanya bagi melalui 9999 kesilapan sambil berusaha tidak mengulang 9999 kesilapannya sendiri itu. Sehinggalah pada suatu hari beliau berjaya menemui satu cara yang betul. Nasib baik usianya panjang. Beliau berjaya menyudahkan 10,000 eksperimen.
Nasib kita mungkin tidak sebaik Thomas. Boleh jadi tempoh usia kita tidak panjang. Maut sentiasa mengikut kita di belakang. Setiap hari ia semakin dekat. Masa kita semakin kurang, jadi kita perlu bijak memanfaatkan apa yang sedikit.
Meneladani Luqman Hakim, genius yang disebut dalam al-Quran, lebih baik kita belajar daripada orang, dengan tidak mengulanginya kebodohan mereka. Jangan juga kita jadi seperti Thomas Edison yang terpaksa belajar daripada kesilapannya sendiri.
Pada pendapat saya, boleh jadi itu antara kebaikannya alim ulamak menasihatkan kita supaya berguru dengan orang. Tidak cukup hanya berguru dengan buku.
Manusia itu sentiasa belajar. Guru yang terbaik sudah tentulah orang yang bijaksana dan berhikmah. Kerana mereka sentiasa belajar daripada kesilapan orang dan kesilapan mereka sendiri.

Artikel ditulis oleh Puan Rihan Hashim. Beliau ada seorang penterjemah. Layari tulisan beliau penuh ilmu dan hikmah di http://rihanhashim.net.

Sunday, 22 April 2012

Tips Senaman Untuk Pelajar di Asrama


Kehidupan sebagai pelajar di asrama buat kali pertama samada di sekolah atau di kolej pasti membuat anda 'culture shock'. Secara tiba-tiba anda kena duduk dengan orang yang anda tak pernah kenal di ruang yang terhad yang jauh berbeza dengan kehidupan yang selesa di rumah sendiri. Secara tiba-tiba juga anda rasa yang kehidupan anda seperti sudah diatur dan anda terikat untuk melakukan sesuatu contohnya nak pergi mana, pergi dengan siapa, pukul berapa kena balik, pukul berapa kena tidur, pukul berapa kena bangun dan banyak lagi.
 Amalan makan makanan berkhasiat, tidur yang cukup, dan aktifkan diri seperti berjalan instead of naik shuttle bus mungkin dapat membantu anda mendapatkan badan yang cergas. 
Apa yang paling penting, anda boleh bersenam sekurang-kurangnya 30 minit, itu lebih baik. Senaman pula haruslah ada tiga komponen ini iaitu: 
1. Kardio / Aerobik akan membantu membakar kalori, melatih badan menggunakan lebih banyak lemak sebagai sumber tenaga, menguatkan degupan jantung, dan juga dapat mengurangkan tekanan. Cuba target lakukan senaman ini 30-60 minit untuk 3-6 kali seminggu.
2. Latihan kekuatan akan membantu anda untuk membina otot. Jika anda tidak membuat latihan kekuatan, anda akan kehilangan otot tersebut and metabolisme badan anda akan menjadi sangat rendah. Oleh itu, cuba buat workout 2 kali seminggu. 
3. Regangan atau latihan fleksibiliti boleh membantu anda meningkatkan tahap kecergasan serta mengurangkan risiko kecederaan selepas anda melakukan aktiviti senaman. Lakukan regangan setiap kali selepas workout dan bila-bila anda mahu merehatkan badan. Tapi, bagi anda yang mempunyai ruang yang terhad seperti di asrama, bagaimana anda dapat menggunakan sebaik-baiknya ruang yang anda ada untuk melakukan senaman? Di sini saya ada beberapa cadangan yang anda boleh lakukan di ruangan terhad anda itu:
  1. Berkawad setempat.
  2. Melakukan side steps atau melakukan langkah ke kiri dan ke kanan dengan hujung jari kaki mencecah lantai.
  3. Jogging setempat atau berlari setempat dengan mengangkat lutut 90 darjah.
  4. Melompat bintang setempat.
  5. Membuat gerakan kickboxing – front kicks, squats, side kicks, menumbuk.
  6. ON mp3 player anda dan menari sampai berpeluh
  7. Anda juga boleh buat jumping rope kalau ruang di bilik anda mengizinkan. Aktiviti ini boleh membakar jumlah kalori yang tinggi! Kalau tak muat, anda boleh imagine yang anda sedang melakukan jumping rope dengan menggerakkan tangan dan pergelangan tangan anda, lompat setempat, lompat menggunakan sebelah kaki, atau apa sahaja aktiviti yang boleh membuat jantung anda berdegup pantas.
  8. Ini aktiviti yang paling saya suka. Buka youtube, cari atau download video workout atau aerobik, dan ikut! Lihat bentuk badan pengajar di video tersebut pun boleh membakar semangat anda untuk bersenam dengan lebih kuat supaya boleh dapat bentuk badan yang sama juga. :D
  9. Buat pushups menggunakan hujung katil atau di atas lantai.
  10. Buat sit up.
  11. Kalau anda anda duit lebih, anda boleh mula membeli dumbell untuk melakukan latihan kekuatan otot.
  12. Turun dan naik tangga atau berlari sekeliling asrama anda.
Kehidupan di asrama bukanlah sesuatu yang sukar. Anda tidak boleh meletakkan kehidupan di asrama sebagai penyebab anda kekurangan masa dan ruang untuk menjalani kehidupan yang sihat. Ini kerana bilik anda yang kecil di mana anda tidur, belajar, berborak bersama rakan itu juga boleh dijadikan sebagai gim peribadi anda. Jika anda mula amalkan amalan rajin bersenam ini dari awal, beberapa minit sehari, beberapa hari dalam seminggu, pasti anda dapat melihat perubahan bentuk badan anda, kesihatan yang lebih baik, dan minda anda juga akan tenang dan segar. Dan ini adalah salah satu cara anda akan buat pengalaman anda tinggal di asrama sebagai satu pengalaman yang terindah!

PETUA UNTUK MENJADI PELAJAR CEMERLANG


Untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, anda perlu:
a) Ingat 10% apa yang dibaca
b) Ingat 20% apa yang didengar
c) Ingat 50% apa yang didengar dan dilihat
d)Ingat 70% apa yang dicakapkan
e) Ingat 90% setelah dipraktikkan
1. Belajar secara aktif dengan pen/ pensil ditangan
2. Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah)
3. Belajar dalam persekitaran kondusif -
a) pastikan cahaya adalah terang
b) kurangkan gangguan bunyi
c) tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
d) tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
e) kerusi dan meja menghadap kiblat
f) jangan lupa untuk senyum
4. Mengulangkaji menggunakan kaedah “output learning” iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku  atau nota, ingat kembali, lakar atau  tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.
6. Amalkan Teknik FOKUS -
a) Masukkan maklumat dalan memori
b) Simpan maklumat dalam sel memori
c) Ingat kembali
d) Gunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain
7. Amalkan Teknik Membaca secara Berkesan -
a) Duduk dengan tegak dan bernafas dengan betul
b) Beri tumpuan sepenuhnya
c) Gunakan jari telunjuk untuk membaca
d) Sesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan
8. Amalkan Teknik Mengulang Kaji -
a) Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar sebab manusia mudah lupa 80% apa yang dipelajari.
b) Mengulang kaji secara persendiran atau berkumpulan

Kredit kepada : http://www.epetua.com/

FALSAFAH SEKOLAH

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN BUKIT CHANGGANG



  • Sentiasa berusaha untuk memberikan pendidikan yang seimbang, menyeluruh dan bersepadu kepada pelajar-pelajarnya mengikut potensi individu yang sentiasa berusaha untuk mencapai kesempurnaan diri berlandaskan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan
  • Dengan demikian mereka akan dapat memainkan peranan dan memberi sumbangan yang positif sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan aspirasi negara yang mampu menyumbangkan khidmat bakti kepada diri, ibu bapa, masyarakat, bangsa dan agama